Kes penipuan meningkat tahun lalu, rekod kerugian lebih RM1.6 bilion
Pihak bank di seluruh negara berjaya menghalang transaksi penipuan melebihi RM12.4 juta tahun lalu, sekali gus memperkukuh keselamatan kewangan pelanggan.
March 3, 2025

Kuala Lumpur: Kes penipuan di negara ini menyaksikan peningkatan apabila sebanyak 35,368 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah lebih RM1.6 bilion pada tahun lalu.

Jumlah itu meningkat tiga peratus berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan sebanyak 34,495 kes dengan kerugian lebih RM1.2 bilion.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes penipuan itu merangkumi 84.5 peratus daripada keseluruhan 41,701 kes jenayah komersial yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.

Selain itu, katanya, sepanjang tahun lalu juga pihaknya melaksanakan 24,388 serbuan di seluruh negara yang membawa kepada penahanan 25,829 individu dipercayai terbabit jenayah komersial termasuk penipuan dan 16,813 kes berjaya didakwa di mahkamah.

"Penipuan semakin berkembang dan mendedahkan kita kepada ancaman yang sukar dikesan. Jenayah ini kini menjadi ancaman serius yang semakin meningkat kerana penipuan bukan hanya panggilan palsu dan SMS tetapi juga tawaran pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi.

"Meningkatkan kesedaran mengenai penipuan amat penting untuk melindungi diri dan keluarga daripada menjadi mangsa jenayah ini," katanya ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Wira Bank #jangankenascam 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pasukan Kebangsaan untuk Membanteras Penipuan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sektor perbankan perlu diperkukuhkan dalam usaha menangani peningkatan kes penipuan.

Beliau berkata, bank memainkan peranan penting dalam membantu siasatan dengan memantau transaksi kewangan mencurigakan dan menyediakan data penting kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Syed Ahmad berkata, secara kolektifnya pihak bank seluruh negara berjaya menghentikan transaksi penipuan berjumlah lebih RM12.4 juta pada tahun lalu, sekali gus menyumbang kepada keselamatan kewangan pelanggan bank.

Sejak 2023 dan 2024, industri perbankan turut berjaya memintas dan menghalang transaksi dalam talian mencurigakan serta penipuan membabitkan nilai lebih RM780 juta.

"Sebagai sebuah industri, kami amat berbangga dengan dedikasi kakitangan perbankan yang bertindak sebagai pembela barisan hadapan terhadap penipuan kewangan.

"Usaha proaktif mereka dalam mengesan dan mencegah penipuan memainkan peranan dalam melindungi wang rakyat Malaysia. Melalui kerjasama berterusan antara bank, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkepentingan utama, kami kekal teguh dalam usaha mencegah penipuan," katanya.

Pada majlis berkenaan, seramai 67 kakitangan bank daripada 10 bank menerima sijil penghargaan masing-masing.

 

Sumber:  https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/03/1192823/kes-penipuan-meningkat-tahun-lalu-rekod-kerugian-lebih-rm16-bilion

 

Brought to You by

Maybank Ambank Bank Islam CIMB Public Bank RHB (1) Affin Bank Alliance Bank HLB HSBC Bank OCBC Standard Chartered UOB Maybank Islamic Ambank Islamic CIMB Islamic Public Islamic Bank Affin Islamic Alliance Islamic Bank Muamalat HLB Islamic HSBC Amanah OCBC Al Amin MBSB Bank Agro Bank Bank Rakyat BSN MIDF Investment GX Bank Boost Bank AEON Bank Al Rajhi Bank Bangkok Bank Bank Of America Bank Of China BNP Paribas CCB Citi Deutsche Bank India International Bank ICBC JP Morgan Kuwait Finance House Mizuho MUFG Standard Chartered Saadiq Sumimoto
Get Help Now Did You Get Scammed?