National Fraud Portal (NFP) terus memperkukuh usaha bersepadu untuk mengekang penipuan kewangan
Bank Negara lancar NFP perkasa usaha perangi penipuan kewangan
August 21, 2024

KUALA LUMPUR: Portal Fraud Kebangsaan (NFP) akan memperkukuh peranan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam memerangi jenayah penipuan kewangan membabitkan sistem perbankan.

Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata NFP adalah satu lagi pencapaian penting dalam usaha negara untuk membanteras gejala penipuan kewangan.

Beliau berkata, NFP dibangunkan hasil kerjasama BNM, PayNet (pengendali perkhidmatan pembayaran domestik) dan peserta industri kewangan untuk memanfaatkan kuasa teknologi dan analisis data dalam usaha membanteras penipuan kewangan.

Perkara itu, katanya, sebagai satu usaha daripada pelbagai langkah yang sudah diambil bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem kewangan digital di Malaysia

"Penipuan kewangan bukanlah suatu isu yang hanya melanda negara kita, akan tetapi menjadi sebuah ancaman global.

"Menurut Global Anti-Scam Alliance, kerugian kewangan akibat penipuan di seluruh dunia telah melebihi AS$1 trilion (RM4.3 trilion) pada tahun 2023," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran NFP di Sasana Kijang di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan turut dihadiri Timbalan Gabenor BNM, Marzunisham Omar dan Penolong Gabenor BNM, Dr Norhana Endut.

Abdul Rasheed berkata, pelbagai agensi kerajaan, pengawal selia serta peserta industri berganding bahu dalam mencegah penipuan melalui pendekatan serampang tiga mata.

"Pertama, dengan mengukuhkan lagi pertahanan kita melalui langkah-langkah pencegahan penipuan yang dipertingkatkan.

"Kedua, menambah baik keupayaan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penjenayah serta mendapatkan semula dana yang dicuri dan mengembalikannya kepada mangsa.

"Akhir sekali, memastikan kepentingan pengguna terpelihara dengan baik serta meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung dengan amalan keselamatan siber yang baik," katanya.

Beliau berkata, dari sudut penguatkuasaan secara khususnya, negara beroleh manfaat ketara hasil daripada penubuhan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada Oktober 2022.

"Setakat Jun 2024, NSRC membuka lebih 12,000 kertas siasatan dan membekukan RM72 juta daripada akaun yang dikenal pasti melalui perintah penguatkuasaan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Bagaimanapun, penjenayah siber akan terus mengeksploitasi teknologi untuk mengembangkan taktik mereka.

"Justeru, NSRC juga perlu mengorak langkah menggunakan pendekatan dipacu teknologi bagi mengatasi kesemua ancaman ini dengan membangunkan NFP," katanya.

Jelas beliau, menerusi NFP, operasi NSRC kini dilengkapi dengan keupayaan automasi menyeluruh atau 'end-to-end' bagi menguruskan laporan penipuan, mengesahkan dan menjejak dana yang dicuri.

"Selain itu, membolehkan perkongsian amaran awal dalam kalangan institusi kewangan agar tindak balas pantas dapat diambil.

"NFP yang memanfaatkan infrastruktur guna sama PayNet ini menyediakan data pembayaran yang berwibawa untuk operasi NSRC bagi memudahkan pengesanan dan analisis dana," katanya.

Katanya, antara ciri NFP ialah reka bentuk modular yang membolehkan penambahbaikan berterusan dibuat pada masa hadapan ke atas infrastruktur asas yang sedia ada.

"Usaha juga sedang giat dilaksanakan untuk memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk mengenal pasti transaksi mencurigakan melalui analisis ramalan.

"Kedua, kita perlu terus menerapkan tindakan bersepadu dalam usaha kita. Membanteras penipuan kewangan memerlukan pendekatan seluruh negara serta kerjasama yang erat antara sektor awam dengan sektor swasta," katanya.

Ciri ketiga, katanya, semua pihak berkaitan perlu terus gigih dalam usaha memperkasakan pengguna supaya lebih berwaspada dalam usaha semua pihak untuk membanteras penipuan kewangan.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/08/1287682/bank-negara-lancar-nfp-perkasa-usaha-perangi-penipuan-kewangan

Brought to You by

Maybank Ambank Bank Islam CIMB Public Bank RHB (1) Affin Bank Alliance Bank HLB HSBC Bank OCBC Standard Chartered UOB Maybank Islamic Ambank Islamic CIMB Islamic Public Islamic Bank Affin Islamic Alliance Islamic Bank Muamalat HLB Islamic HSBC Amanah OCBC Al Amin MBSB Bank Agro Bank Bank Rakyat BSN MIDF Investment GX Bank Boost Bank AEON Bank Al Rajhi Bank Bangkok Bank Bank Of America Bank Of China BNP Paribas CCB Citi Deutsche Bank India International Bank ICBC JP Morgan Kuwait Finance House Mizuho MUFG Standard Chartered Saadiq Sumimoto
Get Help Now Did You Get Scammed?